KUALA LUMPUR – Kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebagai Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) adalah mandat kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Memorandum dan Artikel Persatuan YWP.
Khalid berkata, YWP adalah sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa modal saham yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 9 April 1986.
“Menurut Memorandum dan Artikel Persatuan YWP, Artikel 22 menyatakan dengan jelas bahawa lembaga hendaklah mempunyai seorang pengerusi yang akan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Artikel 1.
“Buat masa ini, berdasarkan kedua-dua artikel ini, saya secara langsung mempunyai tanggungjawab untuk menjadi pengerusi YWP dan berdasarkan artikel ini juga, mandat Kerajaan Persekutuan tidak diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai peranan beliau selaku Pengerusi YWP di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Jalan Raja Abdullah di sini.
Menurut Khalid, YWP merupakan pertubuhan kebajikan yang menerima dan mengurus dana bagi tujuan membantu meningkatkan kualiti hidup golongan miskin di wilayah persekutuan melalui bantuan kewangan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan kebajikan, kesihatan dan pendidikan.
“Antara bidang yang diutamakan ialah pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi dengan anggaran keseluruhan RM12 juta diperuntukkan pada tahun ini. Daripada jumlah itu, RM2 juta telah dibelanjakan setakat ini,” katanya.
Mengulas cadangan sesetengah pihak yang mahu YWP dibubarkan, beliau berkata, pembubaran itu akan memberi kesan kepada rakyat di kawasan wilayah persekutuan kerana ia satu-satunya platform bagi kementerian untuk mengadakan program kebajikan ekoran ketiadaan kerajaan negeri mahupun perbadanan kemajuan. – UTUSAN ONLINE










