PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (JKPP) tidak boleh berfungsi secara undang-undang memandangkan ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan jika ingin memberi peranan kepada JKKP khususnya mengenai Pelantikan Jawatan Awam Utama.
Katanya lagi, kerajaan mahu JKKP tetapi ingin melaksanakannya memerlukan pindaan peruntukan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Untuk tukar itu, kita memerlukan majoriti dua pertiga dan kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga.
“Buat masa ini segala urusan pelantikan diserahkan kepada Perdana Menteri, yang lain boleh bagi pandangan tetapi Perdana Menteri akan putuskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil.3/2019 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada pelantikan jawatan utama perlu dibawa dalam Kabinet, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau tidak perlu berunding dengan Mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, beliau boleh meminta pandangan beberapa pihak dan beliau sendiri akan memutuskannya berdasarkan merit. – UTUSAN ONLINE










