SEBERANG PERAI – Dua ahli Geng Frog Hill yang aktif dalam kegiatan pecah kereta di kawasan Bukit Katak, Tasek Gelugor di sini tumpas selepas polis menahan dua lelaki semalam.
Suspek berusia 19 dan 27 tahun itu ditahan ketika polis melakukan intipan di kawasan tempat letak kereta kawasan itu yang pernah tular di media sosial kerana kecantikan pemandangan bukit dan tasik kira-kira pukul 5 petang selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dengan tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah kereta sejak April lalu di kawasan itu.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes pecah kereta berkenaan selain terdapat seorang lagi yang masih bebas.
“Mereka menggunakan peralatan khas iaitu palam pencucuh untuk membuka pintu kereta pengunjung Bukit Katak sebelum melarikan barangan berharga seperti komputer riba ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas di sini sebentar tadi.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










