BAITULMUQADDIS 10 Jun – Kementerian Luar Negara dan Ekspatriat Palestin mempertimbang memfailkan aduan terhadap Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, David Friedman ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan komen terbaharunya mengenai pelan damai AS.
Al-Jazeera melaporkan, Friedman yang merupakan penyokong kuat penempatan haram Israel menyatakan rejim Zionis berhak merampas sebahagian kawasan Tebing Barat semasa temubual bersama New York Times, kelmarin.
Kementerian itu dalam kenyataan akhbar berkata, pihaknya mengutuk kenyataan Friedman dan menggambarkan beliau sebagai ‘ancaman kepada keamanan dan keselamatan rantau ini’.
Katanya, perkataan digunakan Friedman adalah ‘tambahan’ kepada dasar pentadbiran AS yang berat sebelah dan menyebelahi rejim Zionis serta dasar penjajahannya.
“Apakah alasan yang menjustifikasi logiknya kenyataan Friedman bahawa Israel mempunyai hak untuk merampas sebahagian Tebing Barat?
“Undang-undang antarabangsa melarang rampasan tanah dengan kekerasan,” jelas kenyataan itu, semalam.
Sementara itu, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani berkata, tiada kesinambungan antara Palestin dan Amerika berhubung pelan damai AS dengan memberi amaran bahawa penyelesaian tidak boleh dikenakan ke atas Palestin.
“Pendirian kami kekal teguh, bahawa kami menyokong sebarang rancangan yang akan dipersetujui rakyat Palestin.
“Ia tidak boleh menjadi penyelasaian seperti yang dikenakan ke atas rakyat Palestin, tiada negara dalam dunia Arab boleh menerimanya,” jelasnya.
Tambah Sheikh Mohammed, jika pelan itu ditolak salah satu pihak, ini bermakna rancangan itu sama ada tidak adil atau realistik. – AGENSI











