KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas yang bertindak mengkaji peraturan mengenai platform sewa jangka pendek hotel bajet dan rumah penginapan tidak boleh mengenakan cukai tambahan kepada para pengendali perkhidmatan tersebut.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, cukai tersebut akan membebankan para pengendali berkenaan yang telah pun mengalami kekurangan pelanggan akibat pelaksanaan Cukai Pelancongan sejak 1 September 2017.
“Setakat yang saya tahu daripada pengendali rumah penginapan, selain mengutip Cukai Pelancongan sebanyak RM10 bagi pihak kerajaan, mereka turut memfailkan cukai pendapatan peribadi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jika jawatankuasa khas mengutip pula cukai tambahan daripada pengendali rumah penginapan, sudah tentu tindakan itu tidak adil kerana mereka dikenakan cukai sebanyak dua kali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 29 April lalu, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji status undang-undang perkhidmatan syarikat hospitaliti berasaskan komuniti, Airbnb.
Cukai Pelancongan yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam telah berkuat kuasa 1 September 2017 selepas Parlimen meluluskan pelaksanaannya. – UTUSAN ONLINE











