Geng plastik hitam raya tak? - Utusan Malaysia

Geng plastik hitam raya tak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT Hari Raya Aidilfitri semua. Kita baru beberapa hari saja beraya. Kemeriahannya tentu belum habis lagi. Raya kan sebulan. Macam-macam rancangan diatur untuk memenuhi jemputan rumah terbuka kawan-kawan dan sanak saudara. Jalan raya sebulan ini, sesaklah!

Dan Miss Kitty pun dalam sibuk menyumbat ketupat dan kuih raya dalam mulut tertanya-tanya, apa khabar agaknya Geng Plastik Hitam (GPH)? Beraya sakan ke? Sudah left group GPH dalam WhatsApp tak? Sajalah nak tanya. Bukan main lagi masa bulan Ramadan hari tu. Siap ada grup WhatsApp bagai. Tak tahulah Miss Kitty, nak marah ke nak gelak. Inilah kerja segelintir orang lelaki.

Jangan ingat Miss Kitty tak tahu. Miss Kitty ni ramai spy tau. Tapi spy Miss Kitty bukanlah ahli dalam grup tu. Apatah lagi jadi admin. Bila dah tua-tua tak puasa, malulah kan. Budak darjah satu pun ramai yang boleh puasa sebulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nampaknya teknologi maklumat dan komunikasi memudahkan semua urusan, termasuk melancarkan komunikasi orang yang tak berpuasa.

Inilah yang Miss Kitty dapat maklumat pasal ada orang lelaki yang sampai wujudkan grup WhatsApp untuk yang tidak puasa. Dalam grup tu bukannya sedikit, lebih 10 orang. Itu baru satu grup yang Miss Kitty tahu. Entah-entah banyak lagi grup yang bercambah rangkaiannya di seluruh negara.

Tapi itulah yang hairannya, ada ahli GPH ini, bila menjelang hari raya dialah paling shopping sakan, beli baju Melayu siap dengan samping bagai dan sibuk cari butang baju Melayu. Masa hari raya, dia pun sibuk beraya dari siang sampai ke malam. Tak reti penat. Suruh puasa letih pula.

Yang kelakarnya, ada runner yang sanggup membeli makanan tersebut. Menunya pula, jangan hendak minta lebih-lebih. Kalau ayam, jangan seorang minta nak bahagian paha lah, seorang lagi nak leherlah, seorang lagi nak kepalalah! Jangan cerewet. Runner nak buat kerja cepat. Kalau minuman pun, sejenis saja. Kalau teh ais, semua ahli kena minum teh ais. Jangan minta milo ais pula! Dan ada yang bergaduh jugalah pasal kawan-kawan dalam grup tu susah nak sepakat tang menu makanan ni.

Runner pula dapat keuntungan lebih. Sebab ahli-ahli terdesak perlukan khidmat runner yang juga dalam kalangan kawan yang muka mungkin tebal sedikitlah daripada yang lain sebab sanggup untuk pergi membeli makanan. Maka segala duit lebih, atau duit baki, itu dia punya. Itu belum masuk duit upah lagi.

Kenapa tak gunakan khidmat penghantaran makanan macam `Food Panda’? Tak nak bayar lebih. Lagi pun beli sendiri dengan kawan-kawan lebih privasi dan taklah malu sangat.

Bila dah makan, semua buat-buat muka letih berpuasa. Balik rumah, buka puasa dengan isteri dan anak-anak, dia pun buat muka penat. Isteri minta tolong di dapur, dia bagi alasan tak bermaya untuk buat apa-apa kerja, Letih sangat di pejabat sebab berpuasa. Anak-anak pula steady saja, tak ada muka letih pun walaupun berpuasa.

Sampai bila tak nak berpuasa ni? Dah usia warga emas pun nanti nak jadi ahli GPH lagi ke? Patutnya masa tu ramai yang dah masuk dalam grup WhatsApp geng surau. Miss Kitty bukannya apa, harap muka hensem dan berbadan sado, tapi tak puasa, tak guna juga. Buruk perangailah!

Miss Kitty – Jom puasa enam!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini