KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa forensik bebas patut ditubuhkan bagi mengkaji semua aspek berkenaan krisis kesihatan melibatkan masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang kini mengakibatkan kematian sebanyak 14 orang.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa berkata, semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Kelantan perlu bekerjasama mencari punca sebenar kejadian yang jelas merupakan peristiwa kemanusiaan yang perlu dijadikan iktibar.
“Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri bekerjasama mencari punca sebenar kejadian dan jumlah kematian yang besar dalam masa yang singkat tanpa tujuan melindungi apa-apa.
Sebuah jawatankuasa forensik bebas patut ditubuhkan untuk mengkaji semua aspek dan segala kemungkinan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa kerajaan memandang serius dan akan mengambil langkah menangani isu kebajikan dan hal ehwal Orang Asli di Kuala Koh tersebut.
“Peristiwa yang menimpa Orang Asli Kuala Koh merupakan peristiwa kemanusiaan untuk iktibar serta perhatian kita bersama. Di atas ihsan kemanusiaan, masalah Orang Asli adalah masalah kita semua,” katanya.- UTUSAN ONLINE











