Kajang – Sebanyak 733 buah kenderaan telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor atas pelbagai kesalahan dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula 29 Mei hingga semalam.
Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, daripada jumlah tersebut, motosikal adalah kenderaan tertinggi diambil tindakan iaitu sebanyak 573 buah, kereta (99), lori (48) dan bas 13 buah.
“Kita telah memeriksa sebanyak 12,017 buah kenderaan melibatkan 7,331 buah motosikal, kereta (2,918), bas (966) dan lori sebanyak 82 buah.
“Sebanyak 931 saman dikeluarkan menerusi operasi tersebut melibatkan kesalahan, sebanyak 578 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, kesalahan teknikal kenderaan, tiada insuran, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta beberapa kesalahan utama lain, katanya dalam sidang akhbar Op HRA di Plaza Tol Batu 9, Cheras di sini semalam.
Menurut Nazli, Selain saman, sebanyak 41 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan melibatkan 39 buah motosikal dan dua buah lori.
Sementara itu, jelasnya, sebanyak 48 buah bas telah dinaiki anggota dan pegawainya menerusi penyamaran sebagai penumpang bas ekspres.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 buah bas telah diambil tindakan dan 20 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. – UTUSAN ONLINE











