Sibuk kecam setahun kerajaan PH sampai lupa dengan prestasi pembangkang - Utusan Malaysia

Sibuk kecam setahun kerajaan PH sampai lupa dengan prestasi pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara, banyak pihak yang begitu ghairah membuat penilaian prestasi dan pastinya ramai yang lebih gemar mengecam.

Yang paling rancak mengecam sudah pastilah pihak pembangkang yang tiba-tiba merasa lebih bijak dan cuba menonjolkan mereka lebih ‘cerdik’ mentadbir negara.

Hinggakan ramai yang terlupa untuk bermuhasabah diri dan menilai prestasi pembangkang dalam tempoh setahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai kerajaan memang tidak dapat mengelak daripada ditegur dan dikecam kerana semua mata tertumpu kepada mereka dan segala masalah dunia serta akhirat akan diletakkan di atas bahu kerajaan.

Apatah lagi apabila kerajaan hari ini adalah bekas pembangkang dan telah banyak membuat janji yang sukar ditunaikan kerana semata-mata untuk memenangi undi rakyat.

Semasa pulang ke kampung berhari raya tempoh hari, memang tidak dapat mengelak daripada soalan cepu cemas: Mampukah kerajaan PH bertahan untuk satu penggal?

Saya biasanya akan mengelakkan diri daripada menjawab soalan ini kerana ia selain daripada sensitif dan boleh membunuh keterujaan untuk menyambut Aidilfitri, kita sebenarnya tidak mampu membuat tilikan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana ia adalah urusan Sang Pencipta.

Bagaimanapun pandangan saya setakat ini pembangkang yang merupakan bekas kerajaan selama 60 tahun belum cukup berkesan dan masih belum berperanan selaku pembangkang yang sebenar-benarnya.

Hanya mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini lebih popular dengan panggilan Bossku menjalankan tugas membangkang dengan cukup berkesan.

zahid
 

Pemimpin lain seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti daripada jawatan Presiden UMNO, tidak bermakna beliau langsung tidak mempunyai peranan untuk menegur kerajaan hari ini.

Khairy Jamaluddin yang lebih gemar dan lantang mengkritik para pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO atau lebih khusus Najib, juga mendiamkan diri.

Pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan Pas pula ibarat biskut sekejap muncul kemudian hilang untuk tempoh yang lama.

Jika sikap membutakan mata dan memekakkan telinga pembangkang ini berterusan ini tidak baik kepada negara kita.

Mengenai fenomena Bossku, saya lihat ia adalah sesuatu yang luar biasa. Pada asalnya Najib tampil hanya untuk membersihkan namanya dan keluarganya yang berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah, tetapi kini beliau menjadi pembangkang yang sangat kritis sehingga meresah ramai pemimpin kerajaan terutama Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. Boleh saya katakan beliau kini ikon pembangkang.

LIM KIT SIANG
 

Saya membuat liputan Najib sejak beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan hingga menjadi Perdana Menteri, memang tidak pernah melihat sokongan daripada orang ramai sebagaimana yang ditunjukkan kepada beliau pada hari ini.

Jika dahulu penyokong perlu disediakan bas dan diberi duit poket untuk hadir pada satu-satu majlis, tetapi kini situasinya sangat berbeza. Penyokong Bossku datang dengan sendiri di mana sahaja Najib muncul.

Mereka yang hadir pula hanya melaungkan slogan ‘Malu apa Bossku’ dan bukan slogan-slogan yang besar seperti 1Malaysia, Malaysia Boleh atau Malaysia Gemilang, Terbilang.

Ketika Najib menikmati sokongan yang luar biasanya ini, pemimpin pembangkang lain masih lagi tercari-cari rentak dan asas untuk bangkit serta menampilkan diri.

Ada yang cuba menjadi pembangkang yang cerdik, tetapi ia gagal menarik minat orang ramai.
Ramai juga mula menyusup ke dalam badan-badan bukan kerajaan kerana mendapati platform parti kurang berkesan serta sukar melakukan perubahan dan anjakan paradigma.

Ini bermakna menjadi pembangkang masa kini juga bukan mudah, mereka perlu lebih kreatif. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini