KUALA LUMPUR – Dua pekerja penghantar makanan antara lima yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Plaza Tol Batu 9 (arah Kajang) di sini hari ini.
Operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam dan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, sebanyak 740 kenderaan diperiksa dan 90 kenderaan telah diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan dan lain-lain kesalahan.
“Sebanyak 145 saman dikeluarkan dan 10 buah kenderaan disita termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi yang didapati tidak mempunyai cukai jalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Nazli, turut ditahan ialah dua warga Indonesia atas kesalahan akta imigresen.
Jelas Nazli, operasi yang memasuki siri ke empat hari ini telah menyaksikan sebanyak 4,219 buah motosikal diperiksa.
Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 706 melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, 466 kesalahan melibatkan cukai jalan dan 118 atas kesalahan teknikal. – UTUSAN ONLINE











