KUALA LUMPUR – Lima orang didapati positif dadah jenis meth, syabu dan ganja ditahan dalam satu Operasi Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Operasi tersebut bermula pukul 6 petang disertai bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, sebanyak 145 Notis Saman JPJ (P22) dikeluarkan dalam operasi tersebut.
“Antara kesalahan ialah tiada lesen, lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan teknikal seperti ubah suai kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.
“Sebanyak 740 motosikal telah diperiksa dan 10 buah motosikal berjaya disita pihak berkuasa bagi operasi malam ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat di sini hari ini.
Tambah Nazli, JIM berjaya menahan dua orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pihak PDRM mengeluarkan sebanyak 95 saman atas pelbagai kesalahan.
“Dua orang PATI terbabit merupakan warganegara Indonesia akan disiasat di bawah kesalahan Imigresen kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah,” ujarnya. – K! ONLINE











