LONDON – Manchester United dan Chelsea kini mengintai peluang untuk mendapatkan Philippe Coutinho selepas bintang tengah Brazil itu meminta Barcelona agar melepaskannya.
Menurut akhbar Sepanyol, CER, Countinho, 26, yang kecewa kerana ‘tidak diterima’ sepenuhnya di Camp Nou bersedia untuk meninggalkan gergasi bola sepak La Liga itu tidak sampai dua tahun selepas menyertai mereka dari Liverpool.
Barcelona bagaimanapun tidak akan melepaskan Coutinho dengan mudah dan meletakkan harga 80 juta pound (RM423 juta), jauh lebih rendah berbanding dengan wang yang terpaksa dikeluarkan ketika membelinya daripada Liverpool pada Januari, tahun lalu.
Selain membayar 105 juta pound (RM555 juta), juara La Liga itu juga mengeluarkan bayaran tambahan 13 juta pound (RM69) juta kepada Reds, menurut akhbar Britain, The Sun.
Bagaimanapun Coutinho gagal memikat hati penyokong Barcelona sepanjang berada di Camp No, dan situasi semasa pemain itu menarik perhatian United serta Chelsea, selain juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Pengulas bola sepak terkenal Eropah, Julien Laurens percaya, kelab Liga Perdana Inggeris mempunyai kelebihan untuk mendapatkan bintang Brazil itu kerana PSG tidak diberikan dana mencukupi untuk melakukan pembelian besar.
“Bagaimana (PSG mahu membeli Coutinho)? Menggunakan duit apa?
“Tiada tempat buat Coutinho di Paris kerana yuran perpindahan yang dikenakan untuknya cukup tinggi, begitu juga dengan gaji yang perlu dibayar.
“Daripada apa yang saya dengar, hampir mustahil dia akan menyertai PSG,” kata Laurens kepada ESPN FC.
Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini membuat pembelian rasmi pertamanya sebagai pengurus United dengan membawa masuk pemain tengah, Daniel James dari Swansea menerusi yuran perpindahan 15 juta pound (RM80 juta). – AGENSI











