Korban raya Arif, Azryin - Utusan Malaysia

Korban raya Arif, Azryin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Demi mencapai misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Mohd. Arif Latif bersama pasanga­nnya, Nur Mohd. Azryin Ayub berkelana ke Kanada selama sebulan dan memendekkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Mohd. Arif yang juga bekas pemain kebangsaan akan menyertai Akademi Badminton CST di Montreal, dan dia mengakui perasaan­nya sedikit hiba apabila terpaksa me­ninggalkan keluarga seawal hari raya kedua.

Meskipun sempat bersama pada hari raya pertama, namun dia pasti merindui keluarganya kerana tidak dapat bertemu sanak saudara, selain tidak sempat menjamah semua makanan ke­gemarannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya sudah biasa menyertai kejohanan di luar negara pada hari raya tetapi tahun ini diberi kesempatan untuk bersama keluarga pada hari raya pertama dan saya amat bersyukur.

“Bagaimanapun, agak sedih juga apabila tidak dapat bertemu saudara-mara lain kerana perlu berlepas ke sana pada raya kedua.

“Inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan bagi mengejar impian untuk menjejakkan kaki ke pentas Sukan Olimpik buat kali pertama dalam karier saya.

“Walaupun perlu tinggalkan keluarga dan rendang daging, namun saya perlu pendam pe­rasaan sedih itu,” katanya.

Mohd. Arif-Azryin menghuni ranking ke-30 dunia dan perlu berada dalam kelompok lapan terbaik untuk layak ke Tokyo.

Sebaik sahaja menyertai akademi badminton tersebut, mereka akan menjalani latihan sebulan sebelum beraksi pada Terbuka Kanada dan Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung bulan depan.

Keputusan bekas pemain kebangsaan itu berkelana ke luar negara turut membawa tuah buatnya apabila akademi berkenaan sedia membiayai sepenuhnya kos penyertaan setiap kejohanan sehingga Sukan Olimpik 2020 membuka tirainya.

“Saya akan jalani latihan selama sebulan bagi mengembalikan kecergasan selepas lama berehat sebelum menyertai kejohanan Terbuka Kanada dan Terbuka AS Julai nanti.

“Berhubung kos bagi setiap kejohanan, saya tidak perlu bimbang lagi memandangkan kelab sudah menyediakan peruntukan untuk saya dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik tahun depan,” kata bekas perseorangan negara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini