Pudar ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan tiba-tiba menggelegakkan semula nama Indah Ruhaila di pentas nyanyian. Sempena kepanasan Pudar yang selayaknya diangkat ke pentas anugerah, sengaja Kosmo! merakamkan penyatuan istimewa dua figura itu sebagai bingkisan Syawal untuk semua.
Ketika sesi fotografi dijalankan Somerset Kuala Lumpur, dua sahabat itu ternyata memiliki keserasian tahap sempurna, sama ada dari segi persembahan aksi untuk bidikan lensa kamera mahupun perkongsian perihal raya dan kerjaya seni masing-masing.
Indah rindu nenek
Buat Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein, kedatangan Syawal pastinya menggamit nostalgia pilu yang berlaku kepadanya pada tahun 2002.
Pada malam raya sekitar 17 tahun lalu, Indah dan seluruh ahli keluarga kehilangan seorang wanita yang cukup mereka sayang iaitu neneknya, Allahyarham Asmah.
“Waktu itu kami sekeluarga hidup susah. Saya masih belajar di tingkatan tiga. Duit tidak cukup, baju raya pun tiada.
“Nenek pula meninggal dunia pada malam raya. Raya tahun itu adalah yang paling suram. Mood raya memang tiada. Ketika orang lain sedang gembira beraya, kami pula buat majlis tahlil arwah untuk tiga malam berturut-turut,” kata Indah.
Bercerita tentang rutin raya, kali ini, Indah bersama suami, Ahmad Shariff menyambut Lebaran di kampung halamannya iaitu di Masai, Johor Bahru.
Katanya, setiap kali beraya di Johor, dia sekeluarga akan mengambi peluang berjalan-jalan di Plaza Angsana, Johor Bahru.
“Biasanya, saya sudah berada dua hari sebelum raya sudah berada di kampung. Tolong mak kemas rumah dan menyediakan apa juadah yang patut.
“Wajib buat kami adik-beradik pergi Plaza Angsana untuk mencari mood raya (ketawa),” kata Indah yang tahun sebelum
Disuakan pertanyaan tentang menu wajib keluarganya, kata Indah, kuah kacang yang disediakan ibunya paling menjadi kegemarannya.
“Juadah seperti nasi impit dengan kuah kacang memang tidak boleh tinggal. Kuah kacang mak saya paling istimewa dan tiada tandingan. Kuah kacangnya ada letak daging. Kalau ada dua juadah ini, raya saya ibaratnya sempurna,” tuturnya.
Dijentik pertanyaan tentang cahaya mata, pelantun lagu Percayalah itu tenang memberi jawapan.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya dan suami bukan sahaja ingin beraya bertiga namun berempat sekali gus. Kembar terus.
“Doakanlah agar tahun depan kami dapat beraya dengan cahaya mata. Kalau terbabas (dapat anak) dalam masa terdekat, saya okey. Namun buat masa sekarang, saya mahu fokus dengan nyanyian dulu,” kongsinya yang amat menggemari kuih tart nenas dan sarang semut setiap kali tibanya Syawal.
Amylea ligat di dapur
Tidak sahaja ligat mencipta lagu dan muzik baharu, Amylea sebenarnya seorang wanita yang tidak kekok beraksi di dapur.
Kebolehan memasak pemilik nama sebenar Amylea Azizan itu terbongkar apabila dia mendedahkan sering mengambil tempahan kuih raya menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.
Manis mengenakan persalinan koleksi raya Woo/FiziWoo, Amy mengakui perlu menyiapkan sekitar 200 tempahan biskut raya saban tahun.
“Ramai tidak tahu rutin tahunan saya tatkala menjelang sambutan perayaan Aidilfitri adalah menyiapkan tempahan kuih dan biskut raya.
“Saya mula terjebak secara tidak sengaja dalam perniagaan kuih raya sekitar tiga tahun lalu,” kongsinya.
Fokus menghasilkan dua jenis kuih iaitu tart nenas dan biskut makmur, Amy berkata, keunikan kedua-dua juadah berkenaan adalah resipi turun-temurun daripada keluarga.
Amy hanya mengambil tempahan eksklusif dalam kalangan kenalan dan keluarga terdekat.
“Pada mulanya saya sekadar membuat kuih secara suka-suka. Kemudian berkongsi kuih berkenaan sebagai hadiah dalam kalangan kenalan.
“Memandangkan wujud permintaan, jadi saya memberanikan diri untuk mengambil tempahan,” katanya yang menjual kuih tersebut pada harga antara RM30 hingga RM32 sebalang.
Tutur Amy lagi antara rakan selebriti yang setia membeli kedua-dua kuih jenis kuih buatannya saban tahun adalah Kaer Azami.
“Saya tidak mempunyai ramai kenalan dalam kalangan artis. Jadi mereka yang membeli kuih saya hanya terdiri daripada pelanggan setia,” kongsinya.
Tutup cerita tentang perniagaan kuih raya, Amy sempat menyelitkan rencana kerjayanya ketika ini.
Tampil dengan single baharu bertajuk Bukan Cinta, lagu berkenaan merupakan material solo terbaharu daripadanya selepas lima tahun tidak merakam suara.
Mulanya khuatir dengan penerimaan peminat, Bukan Cinta sebenarnya sudah tidak asing lagi pada telinga ramai apabila dijadikan runut bunyi drama bersiri TV3, Cari Aku Di Syurga.
“Pada hari pertama lagu ini hendak dilancarkan, saya tidak boleh tidur. Bayangkan selepas lima tahun tampil dengan projek solo sudah tentu saya gusar,” jelasnya.
Lirik garapan sendiri dengan melodi gubahan Farouk Rahman tersebut mempertaruhkan rentak balada.
Berkongsi rahsia di sebalik lagu tersebut, lagu Bukan Cinta sepatutnya dinyanyikan oleh seorang penyanyi senior.
“Saya hanya bidan terjun. Pada asalnya lagu ini untuk penyanyi wanita lain. Bagaimanapun, saya berharap dapat bekerjasama dengan penyanyi itu pada masa akan datang,” ujarnya menutup bicara.
Kedatangan Aidilfitri pasti menggamit pelbagai kisah dan memori. Begitu juga yang dirasai dua sahabat baik, Indah dan Amylea.











