KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara tewas 1-2 kepada Ireland dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan FIH Siri Akhir di Banbridge, Ireland Utara semalam.
Biarpun gagal mengutip mata, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kerana menampilkan aksi yang memberangsangkan serta memberi saingan sengit kepada pasukan naib juara Piala Dunia 2018 itu.
Ireland, selaku pasukan ranking kelapan dunia membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila Bethany Baar menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun gol awal itu tidak mematahkan semangat Malaysian Tigress yang beberapa kali melakukan serangan balas sehingga berakhir babak pertama.
Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah menggandakan jaringan menerusi gol padang oleh Kathryn Mullan pada minit ke-39 sebelum skuad negara merapatkan jaringan menerusi Siti Zulaikha Hussin pada minit ke-55.
Selain Ireland dan Malaysia dengan ranking 22 dunia, kumpulan itu disertai oleh Republik Czech (19) dan pasukan ranking ke-35 dunia, Singapura.
Malaysia akan menentang Republik Czech pada pukul 12 tengah malam ini waktu Malaysia dan melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang Singapura, Selasa depan.
Kejohanan ini merupakan misi penting skuad negara cuba melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik buat pertama kali dalam 40 tahun di mana skuad negara tidak pernah layak sejak acara hoki wanita dipertandingkan pada edisi 1980 di Moscow.
Pada kejohanan ini, skuad negara perlu meraih dua tempat teratas dalam kejohanan yang disertai oleh lapan pasukan untuk layak ke pusingan kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Oktober dan November ini. – BERNAMA











