KANGAR – Penduduk di Kampung Long Boh di sini gempar dengan kehadiran beruk kentoi yang berkeliaran di kawasan kediaman serta kandang kambing mereka hari ini.
Kehadiran spesis yang jarang ditemui itu disedari oleh penduduk kira-kira pukul 12.30 tengah hari di berhampiran kandang kambing di kawasan itu.
Selepas menyedari kehadiran orang ramai, beruk berkenaan didapati memanjat ke bumbung rumah penduduk selepas
merasakan dirinya terancam.
Kejadian tersebut menarik perhatian ramai memandangkan beruk tersebut sememangnya jarang ditemui dan kebiasaan spesis berkenaan hidup secara berkelompok di habibatnya.
Pengerusi Persatuan Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abdul Rahman berkata, beruk itu berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, beruk berkenaan dipercayai telah terpisah dengan spesisnya yang lain sebelum tersesat di kawasan kampung tersebut.
“Beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides ini sukar ditemui. Di Malaysia, spesis berkenaan hanya ada di kawasan bukit di Perlis manakala di Asia, beruk tersebut hanya boleh didapati di Thailand, India dan Myanmar.
“Ini merupakan kali kedua beruk jenis kentoi berkeliaran di kawasan penduduk selepas kejadian pertama di Kuala Perlis dipercayai beruk yang sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE











