Presiden, Timbalan Presiden Pas menang tanpa bertanding - Utusan Malaysia

Presiden, Timbalan Presiden Pas menang tanpa bertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu yang akan diadakan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) pada 21 hinga 23 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr. Mohd. Fuad Mohd. Salleh berkata, sehingga tarikh tutup pencalonan tiga minggu lalu, tiada yang menawarkan diri bertanding untuk dua jawatan tertinggi Pas berkenaan.

“Untuk jawatan Naib Presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad. Seorang lagi calon ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat akan menampilkan muka baharu yang menang tanpa bertanding selepas penyandang sebelum ini, Muhammad Khalil Abdul Hadi tidak bertanding untuk jawatan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar pada mesyuarat panitia Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Muktamar Tahunan Pas Ke-65, Datuk Takiyuddin Hassan.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 akan diadakan pada 21 Jun hingga 23 Jun ini di Dewan Sukpa, Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat pada 19 Jun hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) dan Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat (15 Jun) di BGRC.

Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat pula akan diadakan pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Mohd. Fuad berkata, nama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang baharu akan diumumkan kemudian bagi memberikan kejutan kepada ahli dewan berkenaan.

Katanya, bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, penyandang sebelum ini, Nuridah Mohd. Salleh menang tanpa bertanding.

Katanya, seramai 29 calon menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, 16 calon AJK Dewan Pemuda Pas Pusat dan 17 calon Dewan Muslimat Pas Pusat.

“Hari pemilihan akan diadakan pada 21 Jun ini dan keputusan akan diumumkan pada 23 Jun, bagaimanapun, calon-calon masih mempunyai peluang untuk menarik diri dari bertanding sehingga Rabu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini