JEMPOL – Satu laporan polis dibuat ekoran papan iklan Felda memaparkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali disimbah cat merah di Felda Palong 7 dan 8 dekat sini.
Laporan polis itu dibuat Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Karip Mohd. Salleh di Ibu pejabat Polis Daerah Jempol di sini hari ini.
Karip yang juga Ketua PKR Cabang Jempol berkata, kejadian itu disedari olehnya kira-kira pukul 10 pagi, Khamis lalu ketika dalam perjalanan ke rumah ibu saudaranya berhampiran kawasan tersebut.
“Perbuatan itu yang ditujukan kepada pemimpin negara telah merosakkan harta benda awam.
“Ini tidak boleh dibiarkan kerana menghina pemimpin negara dan boleh mencetuskan kemarahan orang ramai,” katanya di sini hari ini.
Papan iklan itu memaparkan maklumat mengenai Model Felda Baharu oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – UTUSAN ONLINE











