GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan sebanyak 29 daripada 35 kes jenayah yang rakaman videonya tular di media sosial sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menyelesaikan enam lagi kes yang berlaku dalam tempoh sehingga 31 Mei lalu itu.
“Antara klasifikasi kes termasuklah kesalahan mendatangkan cedera, pemerasan, merusuh, khianat, curi kenderaan, samun, cubaan bunuh, bunuh, ugutan jenayah dan penderaan kanak-kanak.
“Daripada 29 kes yang berjaya diselesaikan, 87 orang telah ditangkap dan 25 telah dituduh selain bakinya sedang direman,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah untuk menyalurkannya menerusi akaun Facebook dan Twitter, Polis Diraja Malaysia selain WhatsApp di talian 019-3019930. – K! ONLINE











