KONYA, Turki – Turki mengejutkan juara dunia, Perancis 2-0 pada aksi kelayakan Kumpulan H Euro 2020 di laman sendiri yang menyaksikan skuad bimbingan Didier Deschamp hilang kedudukan sebagai pendahulu.
Ini merupakan kemenangan pertama Turki ke atas Perancis dalam sejarah pertemuan kedua-dua negara sekaligus membolehkan skuad bimbingan Senol Gunes itu kini tiga mata di depan Perancis yang terpaksa menghuni tangga kedua.
Gol-gol Turki hari ini dijaringkan Kaan Ayhan dan Cengiz Under di babak pertama untuk meneruskan rekod cemerlang di bawah kendalian Gunes setakat ini yang sudah mencatat tiga kemenangan berturut-turut. Mereka akan menentang Iceland dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 berikutnya.
Bagi Deschamps, suasana luar biasa daripada penyokong Turki di dalam stadium menjejaskan rentak pemainnya biar pun menurunkan sembilan pemain ketika muncul juara dunia tahun lalu.
“Ini satu pengajaran yang berguna buat kami. Tidak banyak yang saya boleh katakan kerana Turki bermain lebih baik. Kami pula perlu kembali kepada asas permainan bola sepak,” katanya.
Deschamps akui, skuadnya tidak banyak mencipta peluang berbanding Turki dengan menyaksikan penjaga gol, Hugo Lloris dipaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pasukan tuan rumah.
“Di peringkat tertinggi ini, jika kami bermain seperti sekarang, tiada keputusan yang positif boleh dihasilkan tidak kira anda juara dunia atau pun tidak,” tegas Deschamps lagi.
Perancis akan meneruskan kempen kelayakan Euro 2020 selepas ini dengan menentang pasukan kerdil, Andorra. – AFP











