LONDON – Pengendali England, Gareth Southgate menolak kemungkinan dia akan menyertai Chelsea bagi menggantikan Maurizo Sarri yang kembali ke Serie A bersama Juventus.
Sarri dilaporkan sudah hampir menandatangani kontrak tiga tahun bagi menggantikan Massimiliano Allegri di Juventus.
Southgate yang masih memiliki kontrak bersama England sehingga 2022 disebut-sebut sebagai pengganti baharu sekiranya bekas pengendali Napoli itu meninggalkan Liga Perdana Inggeris.
Pengendali berusia 48 tahun itu bagaimanapun, tidak berminat untuk mengendalikan kelab selepas kali terakhir membimbing Middlesbrough pada 2009.
“Tidak. Tanggungjawab saya bersama England, semudah itu.
“Saya tidak akan tinggalkan England ketika ini untuk menerima sebarang tawaran lain.
“Dalam fikiran saya ketika ini ialah, kami akan berdepan Kejohanan Eropah pada musim panas akan datang dan kami perlu terus perbaiki pasukan ini untuk menjadi yang terbaik.
“Kami membawa 20,000 penyokong ke Portugal dan ia sangat luar biasa. Jadi kenapa perlu saya lepaskan peluang untuk membina pasukan terbaik England untuk tawaran lain,” katanya.-AGENSI











