NEW DEHLI 7 Jun – Hanya kerana lambat melangsaikan hutang sebanyak 10,000 Rupees (RM600), seorang kanak-kanak berusia dua tahun bukan sahaja diculik malah dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke dalam longgokan sampah di Aligard, Uttar Pradesh.
AFP melaporkan, berdasarkan maklumat awal, datuk kanak-kanak itu dikatakan lambat melangsaikan hutang yang dipinjamnya menyebabkan pemiutang berang dan bertindak menculik cucu perempuannya.
Ketua Polis Balai Aligard, Aakash Kulhari memberitahu, pada awalnya, mayat kanak-kanak itu ‘disimpan’ di dalam rumah salah seorang suspek sebelum mereka mengambil keputusan untuk membuang mayat itu ke dalam longgokan sampah kerana mula mengeluarkan bau busuk.
Katanya, dua lelaki dipercayai suspek utama ditahan polis berhubung kes itu.
Selain itu, katanya, lima anggota polis juga digantung kerja selepas didapati gagal menjalankan tugas dengan baik sebaik menerima laporan berkenaan. -AFP











