Mangsa banjir sayu sambut raya di pusat pemindahan - Utusan Malaysia

Mangsa banjir sayu sambut raya di pusat pemindahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR – Perasaan sedih menyelubungi dua keluarga mangsa banjir di Kampung Cabang Dua Kuala Dipang di sini apabila terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang hari ini.

Mereka yang terdiri daripada 14 individu itu berpindah ke pusat pemindahan sementara setelah rumah masing-masing dinaiki air ekoran hujan lebat sejak pukul 10.20 malam semalam.

Seorang mangsa, Maziah Mohd. Nor, 70, berkata, perasaannya cukup sayu apabila terpaksa berada di pusat pemindahan tersebut sedangkan mereka sekeluarga sepatutnya berada di rumah bagi meraikan Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pengalaman pertamanya beraya di pusat pemindahan juga sukar digambarkan apabila memikirkan banyak hidangan yang disediakan tidak sempat dijamah selain menanggung kerugian akibat peralatan elektrik yang rosak.

“Memang paras air yang masuk ke rumah tidak tinggi tetapi ia agak bahaya kerana ada haiwan berbisa yang ‘muncul’ seperti lipan, lintah dan pacat.

“Sebab itu apabila pihak berkuasa mencadangkan kami agar berpindah, kami bersetuju kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara itu di sini hari ini.

Bagi Mazlin Mohamed Aspara, 31, hujan lebat sejak pukul 4 petang semalam hingga menyebabkan rumahnya dinaiki air menyebabkan mereka sekeluarga tidak bersemangat untuk terus beraya.

Malah katanya, dia kini bimbang sekiranya terpaksa tinggal di pusat pemindahan itu lebih lama lagi memandangkan air masih belum surut dan keadaan cuaca juga tidak begitu baik.

“Semalam kami cuba keluarkan air dari dalam rumah namun tidak berjaya sebab hujan terlalu lebat. Sekarang ini kami hanya mahu cepat balik ke rumah untuk berkemas sahaja. Soal raya sudah tidak jadi keutamaan lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini