PENJELASAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu mengundang reaksi terkejut dalam kalangan pelbagai pihak.
Masakan tidak, Dr. Mahathir tanpa berselindung memaklumkan beliau membuat pelantikan itu secara bersendirian tanpa memberitahu kepada Kabinet.
Situasi ini menyebabkan banyak pihak mempertikaikan keputusan tersebut, malah mempersoalkan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu.
Untuk mengulas lebih lanjut polemik pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini, Utusan Online mendapatkan pandangan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
UTUSAN: Apa pandangan tuan mengenai kenyataan Dr. Mahathir bahawa keputusan tersebut dibuat sendiri tanpa merujuk kepada Kabinet?
JAIS: Memang kami amat terkejut pada mulanya dan akhirnya kita sedari sesuatu. Ini adalah suatu keputusan taktikal, untuk ‘minimise conflict’, selepas pelantikan.
Gaya pengurusan Dr. Mahathir adalah dengan mendengar pandangan pemegang taruh dan secara bersendirian membuat keputusan.
Namun, MCW sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang serius dalam memperjuangkan kempen anti-rasuah dan pembudayaan integriti agak terkilan dengan sikap ketidakseriusan kerajaan PH melaksanakan pembaharuan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diwujudkan kononnya untuk melantik jawatan-jawatan utama di sektor awam termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM nampaknya gagal berperanan.
UTUSAN: Apakah keputusan Dr. Mahathir memilih Latheefa untuk mengetuai SPRM dilihat sebagai sesuatu yang tepat?
JAIS: Keputusan diambil atas kepentingan strategi politik Dr. Mahathir dari segi dinamika kerajaan PH. Di antaranya, kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak pengambilalihan tampuk kuasa secara berjadual. Latheefa adalah suatu faktor penting dalam ‘equation’ ini.
Pelantikan ini pasti akan menjadi suatu isu yang pasti dipertikaikan oleh pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan rakyat sendiri. MCW bimbang konsep ‘rule of law’ telah dicemari.
UTUSAN: Boleh tuan komen mengenai latar belakang politik Latheefa yang menjadi pertikaian banyak pihak berkaitan pelantikan ini?
JAIS: Dalam mana-mana parti politik, konflik dalaman memanglah wujud. Oleh itu, jika ada rebutan kuasa kepemimpinan, maka akan wujud ruang yang boleh mempengaruhi keadaan semasa parti berkenaan.
UTUSAN: Sejauh mana pelantikan ini boleh memberi kesan kepada imej SPRM itu sendiri?
JAIS: Barang pasti impaknya adalah akibat daripada kekecewaan kepemimpinan atasan yang mengharapkan sebarang ‘alignment’ akan memihak padanya dan rakan sepasukan masing-masing.
Lagipun, dengan kembalinya Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull tempoh hari, suatu bentuk ‘alignment’ telah berlaku dan kestabilan organisasi mula kelihatan.
MCW juga percaya bahawa tindakan melantik ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ini akan meninggalkan satu ‘precedent’ yang buruk (bad precendent).
Pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya bebas dan neutral daripada sebarang fahaman politik. Secara tidak langsung pelantikan ini akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada SPRM sebagai badan pencegah rasuah yang seharusnya penuh dengan integriti dan mempunyai reputasi yang baik.
Kesan yang amat besar ke atas moral kakitangan dan juga kredibiliti SPRM pasti terjejas akibat perang persepsi yang sedang berlaku dalam media sosial.
UTUSAN: Apakah pula kesannya pelantikan ini kepada PH sendiri dan juga pihak pembangkang terutamanya?
JAIS: Pelantikan ini juga secara tidak langsung mengundang kewujudan satu konflik kepentingan (conflict of interest) di mana pelantikan ini mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada ahli-ahli politik daripada parti PH dan akan bersifat tidak adil kepada musuh parti tersebut.
Dari segi dinamika kepemimpinan dan keputusan, memanglah wujud ketidakpuasan hati di setengah pihak dan begitu juga sebaliknya di pihak yang lain. Maka, kerja ‘damage control’ perlu dibuat dengan kadar segera oleh pihak Dr. Mahathir sendiri. – UTUSAN ONLINE











