KUALA TERENGGANU – Keriangan sebuah keluarga dari Johor menyambut Aidilfitri di kampung asal mereka di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Taman Rekreasi Lagun Kuala Ibai pagi ini.
Mangsa, Muhammad Aidil Muhammad Razali, 9, dipercayai terjatuh selepas tebing tepi lagun yang dipijaknya tiba-tiba runtuh sebelum dihanyutkan arus.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi sewaktu mangsa sedang bermain-main dengan enam adik beradiknya di situ sambil diawasi ibu, Noraini Yahya, manakala bapa mereka, Muhammad Razali Ibrahim pergi kedai untuk membeli air.
Menurut Muhammad Razali, 38, sekembali ke tempat kejadian, dia diberitahu yang mangsa telah timbul dalam keadaan terkapai-kapai namun gagal diselamatkan sebelum hilang.
“Setiap tahun kami akan datang ke lagun ini dan hari ini kami tiba kira-kira pukul 10 pagi, mereka (mangsa dan adik beradik lain) kata hanya nak main pasir di situ.
“Ketika sedang bermain, Muhammad Aidil telah terjatuh apabila tempatnya berpijak runtuh sebelum dia dihanyutkan arus,” katanya.
Noraini, 42, pula berkata, dia terkilan kerana tidak menyangka permintaan anak keempat daripada tujuh beradik itu yang beria-ria mengajaknya ke pantai sejak semalam merupakan petanda mangsa akan meninggalkan mereka buat selamanya.
“Dari pagi lagi dia (mangsa) dah bangun tidur dan bersiap sambil tunggu ayah bangun sebelum kami bergerak ke taman lagun ini,” katanya pilu.
Mereka sekeluarga yang tinggal di Johor pulang beraya di kampung asal Noraini di Kampung Tanjung di sini Selasa lalu.
Dalam pada itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan dua dari BBP Jalan Kota di sini dikejarkan ke lokasi dan operasi mencari mangsa masih diteruskan. – UTUSAN ONLINE











