KUALA LUMPUR – Majlis Peguam menzahirkan mempersoalkan kewajaran pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, lebih-lebih lagi tidak ada justifikasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dirujuk terlebih dahulu untuk menilai pemilihan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu.
Kata beliau, sedangkan penubuhan jawatankuasa itu merupakan langkah penting untuk memastikan pelantikan jawatan penting kerajaan dilakukan secara telus, selain memainkan peranan semak dan imbang kepada badan Eksekutif, selari dengan janji-janji dibuat dalam manifesto pilihan raya.
“Kerajaan tidak boleh berterusan mengatakan bahawa tidak terikat dengan manifesto, memandangkan manifesto tersebut dibuat dalam usaha menyakinkan rakyat untuk memilih mereka pada pilihan raya,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik daripada The Star Online hari ini.
Menurut Abdul Fareed, walaupun Latheefa dikenali sebagai seorang yang lantang melawan ketidakadilan dan aktif terlibat dalam pelbagai kes hak asasi manusia serta kepentingan awam, namun beliau telah lama menjadi ahli PKR yang aktif, malah memegang beberapa jawatan penting dalam parti itu.
“Beliau sebelum ini merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan dilaporkan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan, dan Ketua Biro Perundangan, yang dibimbangi boleh menimbulkan konflik kepentingan.
“Tidak dinafikan bahawa SPRM perlu mempunyai autonomi dan bebas daripada badan Eksekutif bagi membolehkannya menjalankan tugas sebagai sebuah agensi yang menentang rasuah secara efektif, bebas daripada sebarang pengaruh tidak sepatutnya,” jelas beliau.
Abdul Fareed memberitahu, peletakan jawatan Latheefa daripada PKR beberapa hari lalu selepas dimaklumkan mengenai pelantikannya tidak mengubah persepsi awam bahawa pelantikan tersebut bersifat politik.
“Era lantikan politik seharusnya berakhir sejak Malaysia memilih untuk mengubah kerajaan pada 9 Mei 2018,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE











