Lemang merupakan antara makanan tradisonal yang menjadi hidangan wajib pada musim perayaan di negara ini.
Meskipun lemang tetap boleh didapati pada luar musim perayaan, tetapi ia tetap perlu ada menjelang Aidilfitri.
Umum mengetahui kerja-kerja penyediaan lemang bukan mudah. Mencari buluh yang sesuai bukan lagi kerja mudah kerana masalah bekalan dan harganya mahal.
Selain itu ada tatacara penyediaan tertentu yang perlu dipatuhi dengan menggunakan bahas asas seperti beras pulut, santan, daun pisang dan garam.
Lebih merumitkan, kerja-kerja membakar lemang menggunakan kayu api secara terbuka, asap yang berkepul-kepul dan terdedah kepada panas amat mencabar. Tempoh membakar pula kadang kala antara empat hingga lima jam. Lemang yang dibakar kadang kala tidak cukup masak, hangus atau kebersihannya meragukan.
Teknologi telah memberi jalan penyelesaian kepada masalah itu. Mungkin hasilnya tidak terlalu sempurna tetapi banyak hal yang merumitkan dapat diatasi. Ini yang dibuktikan oleh kumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Program Mekanisasi Lepas Tuai dan Pemprosesan Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diketuai oleh Pegawai Penyelidiknya, Wan Mohd. Fariz Wan Azman.
Menurut Wan Mohd Fariz, teknologi yang beliau namakan Mesin Lemang Mini dihasilkan bertujuan memberi peluang keluarga yang ingin menikmati lemang sekali sekala menggunakannya. Ia diperbuat daripada keluli tahan karat dan mengandungi tiub silinder bersaiz dua inci dan tinggi 4.5 inci bagi menggantikan buluh dan dimasak menggunakan periuk nasi elektrik atau ketuhar bergantung kepada penggunanya.
Alat tersebut mengandungi tujuh tiub silinder dan diletakkan dalam periuk nasi sesuai dengan bentuknya yang dibuat bulat supaya menepati saiz periuk nasi elektrik. Cara penyediaannya juga hampir serupa dengan lemang tradisional, tetapi hanya ada tujuh tiub bagi mengisi pulut yang dilapik dengan daun pisang.
“Masak lemang menggunakan periuk nasi memerlukan masa dua jam manakala menggunakan ketuhar satu setengah jam.
“Apabila menggunakan periuk nasi, kita bukan merebusnya kerana tidak ada lubang yang membolehkan air masuk dalam tiub silinder, sebaliknya air yang dipanaskan bertindak sebagai haba.
“Apabila membandingkan rasanya menggunakan kedua-kedua kaedah memasak, ia tetap sama tetapi tekstur lemang yang dimasak berbeza,”’ ujarnya. Rasa lemang tetap sama kerana ia ditentukan oleh aroma daun pisang dan bukan haba pembakaran
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, idea menghasilkan alat memasak lemang tersebut adalah berdasarkan kemajuan pembangunan alat pembakar lemang yang pernah dihasilkan penyelidik MARDI sebelum ini.
Menurutnya, teknologi pembakaran lemang diusahakan oleh penyelidik MARDI sejak 1990-an lagi .
Teknologi tersebut kata beliau, dibangunkan untuk tujuan komersial bagi memenuhi permintaan industri tetapi permintaannya agak rendah ketika itu.
Walau bagaimanapun kata beliau, selepas lebih 10 tahun iaitu pada 2010 barulah ada tanda-tanda industri mula berminat untuk mencuba teknologi pembakaran lemang.
Ia disebabkan oleh beberapa faktor antaranya masalah buluh semakin sukar diperoleh atau harga meningkat.
“Bayangkan buluh lemang sepanjang satu kaki (0.3 meter) boleh mencapai beberapa sen dan kadang kala RM3 sebatang kerana upah mengambilnya meningkat,” ujarnya.
Justeru katanya, masalah bekalan buluh lemang menjadi isu manakala kaedah pembakaran terbuka memerlukan mencari kayu api yang sesuai.
Seperkara lagi kata beliau, pengguna sudah mula celik untuk memilih makanan yang terjamin bersih dan tidak terlalu terdedah kepada agen pencemar.
“Pada 2014 saya melihat ada permintaan daripada pengusaha lemang bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin tinggi. Mereka yang membuat permintaan itu adalah pengusaha tradisional yang mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menghasilkan produk yang bersih serta cepat masak.
“Saya fikir (kalau) sebab hendak fokus kepada usahawan, ia hanya kepada permintaan terhad kepada musim perayaan sahaja,’’ ujarnya.
Oleh itu kata beliau, ada keperluan untuk menghasilkan lemang yang mudah untuk anak muda terutama boleh belajar membuatnya sendiri.
Faktor tersebut memberi ilham supaya mencari segmen pasaran yang mudah untuk keluarga dan bukan industri atau usahawan sahaja. Maka selepas penyelidikan bersama selama setahun, beliau dan kumpulanya berjaya menghasilkan mesin tersebut.
Malah sehingga kini kira-kira 30 mesin berjaya dikomersialkan menerusi Koperasi MARDI (KoMARDI).
Selain beliau, ahli kumpulan penyelidik tersebut adalah Zolkafli Aris, Azman Hamzah, Mohd. Shahrir Azizan, Asnawi Shahar, Muhammad Aliq Jamaludin, Saiful Azwan Azizan, Mohd. Hafiz Mohd. Amin Tawakkal, Mohd. Zaimi Zainol Abidin Mohd Azmirredzuan Shamsulkamal dan Sha’fie Alwi. Alat tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk lain seperti kek lepat, kek lopes, lemang isi ikan dan lemang tepung. Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang KoMARDI.











