Op Selamat kembali lagi - Utusan Malaysia

Op Selamat kembali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OP Selamat 15 sudah dilancarkan di Menara Telekom baru-baru ini. Op Selamat bermula 29 Mei dan berkahir 12 Jun nanti. Op Selamat kali ini bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi yang mendapat penajaan TM. Dalam pada itu, wujud jalinan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memastikan kelancaran Op Selamat kali ini.

Op Selamat 15 mempunyai kekuatan anggota seramai 4,500 orang dengan harapan dapat melancarkan pergerakan trafik, penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan di segenap tempat yang berisiko kemalangan, kesesakan dan sebagainya.

Sementara itu, enam kesalahan utama pengguna jalan raya menjadi fokus pemantauan dalam Op Selamat kali ini iaitu memandu laju, memandu di lorong kecemasan, penggunaan telefon bimbit, memotong barisan, memotong di dua garisan berkembar dan tidak mematuhi arahan lampu isyarat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ternyata keenam-enam kesalahan ini menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya di negara kita dan ia berpunca daripada sikap pemandu yang tidak sabar ketika berada di jalan raya.

Ketika majlis penutup Op Selamat, 14 Februari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu mengemukakan satu anekdot mengenai Jepun dan Korea yang dilihat sebagai negara-negara yang sudah mula menjadi kuasa yang disegani berpunca daripada perubahan sikap dalam segenap aspek.

Oleh hal demikian, kita juga perlu mengubah sikap di jalan raya agar dapat mengurangkan polemik yang berterusan mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang mengorbankan banyak jiwa saban tahun.

Op Selamat 11/2017 mencatatkan 22,402 kes kemalangan tetapi meningkat menjadi 22,411 kes semasa Op Selamat 13/2018. Kita berharap Op Selamat kali ini dapat mencatat penurunan dengan syarat adanya kerjasama padu dalam kalangan pengguna jalan raya.

Sudah pastinya kerjasama ini bertolak daripada kepatuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan, bersabar di jalan raya, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri.

Paling penting adalah setiap pengguna jalan raya mesti berusaha mengelak risiko kemalangan terutama apabila memandu melebihi had yang telah ditetapkan.

Selain itu, pengguna jalan raya juga mesti menekankan enam kesalahan yang telah ditetapkan itu sebagai satu langkah penjagaan dan kewaspadaan kerana keenam-enam kesalahan itu merupakan risiko tinggi kemalangan jalan raya.

Di samping itu, pengguna jalan raya dinasihati agar berhati-hati semasa memandu dan tidak menukar laluan sesuka hati tanpa mempedulikan pengguna jalan raya yang lain. Malah, tindakan keluar masuk dalam arus trafik secara membabi buta sudah tentu akan mengundang padah.

Bagi yang melakukan perjalanan jauh, eloklah mengikut jadual perjalanan yang telah ditetapkan oleh PLUS kerana jadual ini sedikit-sebanyak membantu melancarkan pergerakan perjalanan terutamanya ke utara dan Pantai Timur.

Apa-apa pun kita mesti menyambut baik Op Selamat yang diadakan saban tahun kerana dengan adanya operasi ini, pengguna jalan raya dapat dididik agar sentiasa beringat sepanjang perjalanan ke destinasi tertentu.

Komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan Op Selamat mesti diberi perhatian sewajarnya. Jadilah hari raya tahun ini penuh makna dalam hidup, selamat sampai ke destinasi untuk bertemu ayah bonda, sanak saudara dan sahabat handai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini