KUALA LUMPUR – TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) mengumumkan kerjasama strategik dengan rangkaian restoran terbesar negara iaitu KFC Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pembayaran QR di kesemua restoran KFC di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata, para pelanggan restoran KFC kini boleh menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk membuat pembayaran.
“Rakyat Malaysia kini boleh menikmati ayam goreng kegemaran mereka dengan kemudahan Touch ‘n Go eWallet di samping mendapat kelebihan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Sempena pengumuman kerjasama dan bulan Ramadan tahun ini, rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun 20 peratus bagi KFC Bucket Kongsi lima ketul yang sah dari 16 Mei 2019 hingga 17 Jun 2019.
Sementara itu, Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan kerjasama dengan Touch ‘n Go sebagai salah sebuah syarikat peneraju yang mempelopori usaha ke arah membentuk masyarakat tanpa tunai.
“Perkhidmatan kami sentiasa dinaik taraf seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin mudah didapati di dalam kehidupan seharian.
“Pilihan pembayaran digital seperti Touch ‘n Go eWallet dapat membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan restoran bagi menyediakan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, pengguna baharu Touch ‘n Go eWallet boleh mendapatkan PIN Tambah Nilai TNG RM10 percuma di restoran KFC terpilih.











