KUALA LUMPUR 3 Jun – Tindakan tegas termasuk ditukarkan akan diambil sekiranya didapati masih ada pegawai atasan termasuk Ketua Polis Daerah yang mengarahkan pegawai bawahan untuk mengumpul dana bagi membiayai majlis sambutan perayaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau telah memberi peringatan sama sebelum ini namun masih terdapat rungutan daripada anggota bawahan yang mengatakan pegawai atasan mereka masih meminta mereka mengutip dana daripada individu dan syarikat.
“Sekiranya majlis dibuat menggunakan dana kewangan sendiri seperti wang kelab atau kutipan sesama sendiri, itu tidak mengapalah tetapi jika meminta daripada syarikat atau individu saya tak izinkan.
“Sekiranya masih berdegil, tindakan tegas termasuk ditukarkan akan diambil,” katanya selepas menghadiri Kempen Balik Kampung Op Selamat 15 di Plaza Tol Gombak arah timur, di sini hari ini.
Menurut Abdul Hamid, arahan tersebut adalah untuk mengurangkan bebanan dan tiada gunanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan majlis sekiranya tidak mampu menggunakan dana sendiri.
“Saya rasa masyarakat tidak akan merajuk atau melancarkan protes jika polis tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri.
“Bagaimanapun, terdapat sesetengah pegawai beranggapan ia satu kejayaan jika dapat menganjurkan majlis hari raya di balai dengan menyediakan makanan yang mewah namun amat memalukan kerana wang diperoleh dari luar dan lebih memburukkan sekiranya datang daripasa sumber tidak halal,” ujarnya.
Sebelum itu, tular satu mesej di aplikasi WhatsApp berhubung arahan Abdul Hamid yang mengarahkan pegawainya untuk menghentikan aktiviti berkenaan atau tindakan akan dikenakan terhadap mereka.- UTUSAN ONLINE











