Budayakan rumah terbuka melangkaui ideologi politik - Utusan Malaysia

Budayakan rumah terbuka melangkaui ideologi politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Musim perayaan sinonim dengan aktiviti ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturahim sesama insan tidak mengira latar belakang dan warna kulit.

Berikut merupakan kenyataan Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten mengenai kepentingan memanfaatkan rumah terbuka di musim perayaan untuk perpaduan rakyat:

Konsep rumah terbuka harus dijadikan satu kemestian apabila hubungan silaturahim dan perpaduan pelbagai kaum pada hari ini terhakis sedikit demi sedikit.

Sambutan majlis rumah terbuka menggambarkannya dua perkataan iaitu ‘ramai dan kepelbagaian’ yang boleh mengukuhkan semangat kekitaan apabila masyarakat itu sendiri memahami begitu pentingnya ukhuwah dan muafakat sesama rakyat.

Fahaman idelogi yang berbeza tidak harus dijadikan sebagai satu alasan perpaduan itu tidak wujud.

Platform ‘rumah terbuka’ patut diwarisi oleh pemimpin-pemimpin di dalam mengorak langkah di dalam mendekati rakyat tidak kira bangsa dan kaum. Ia juga satu strategi yang penting yang berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan rakyat berbilang kaum di bawah satu bumbung.

Walaupun ‘mindset’ kita mengikut acuan perbezaan fahaman politik berbeza pada hari ini, konsep rumah terbuka agak bermakna dan merupakan sambutan yang lengkap di samping memperlihatkan keceriaan yang spontan dan semula jadi berserta hidangan pelbagai juadah.

Amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat.

Tradisi ini yang menjadi kunci perpaduan di dalam mengeratkan silaturahim sesama rakyat yang mana tahap toleransi kini makin pudar berikutan beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Lebih-lebih lagi digembar-gemburkan apabila dikongsi dalam media sosial. Segala salah faham dapat diredakan melalui pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah terbuka.

Malahan, hubungan antara pemimpin dan rakyat akan menjadi erat apabila mereka menganjurkan majlis rumah terbuka setiap tahun.

Mekanisme penyatuan kaum di negara kita harus dilihat dengan serius. Sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum perlu mempunyai sikap menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa.

Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama perlu diredakan dengan semangat tolak ansur dan setia-kawan. Proses seumpama ini hanya akan berlaku di platform rumah terbuka ketika sambutan perayaan.

Pada masa yang sama agama kita mendidik kita bagaimana menyatupadukan umat manusia, saling menghormati dan memuliakan tetamu undangan yang datang ke rumah.

Ikatan silaturrahim dengan mereka yang berlainan agama amat penting kerana mereka juga mempunyai hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Sikap ‘ethnocentrisme’ harus diketepikan kerana ia tidak membawa sebarang manfaat di dalam hubungan masyarakat majmuk. Emosi yang melampau akan membawa kepada unsur pergaduhan dan konflik, menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Maka, sikap terlalu berpihak dan berkelompok harus dielakkan. Mesej yang harus disemai ialah perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu.

Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya. 


Melalui silaturahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturahim.

Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturahim dengan penuh keakraban.

Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa dan mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum.

Rumah terbuka sudah tentunya menjadi satu platform yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×