KUALA LUMPUR – Tommy Thomas mencalarkan kredibiliti institusi Jabatan Peguam Negara susulan campur tangan secara terbuka dalam kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakannya begitu jelas menerusi tindakan Jabatan Peguam Negara yang memfailkan afidavit dari awal lagi bahawa kematian Adib bukan disebabkan dipukul, sedangkan punca kematian belum diputuskan oleh mahkamah.
Beliau malah memberitahu, jelas wujud perbezaan pendapat antara Peguam Negara dan perakuan daripada Polis Selangor bahawa kes Muhammad Adib adalah kes bunuh.
“Penjelasan Tommy kenapa peguam, Syazlin Mansor patut menarik diri sebagai peguam mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib dalam inkues membuktikan ada campur tangan terus dari pejabat Peguam Negara.

“Situasi ini telah mengakibatkan rakyat musykil mengenai ketelusan perbicaraan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shamsul Anuar, difahamkan Polis telah pun memutuskan Allahyarham Muhammad Adib dibunuh, suspek-suspek yang terlibat telahpun dikenalpasti.
Namun, katanya, Pejabat Peguam Negara memilih untuk diadakan inkues bagi mencari punca kematian Adib berbanding perbicaraan.
“Ironinya di pertengahan jalan inkues, keluar arahan supaya peguam yang mewakili kepentingan keluarga Adib diarah tarik diri?
“Apakah bentuk sandiwara yang sedang cuba diperlihatkan kepada negara dan dunia?
“Campur tangan sebegini menampakkan Jabatan Peguam Negara Malaysia umpama sebuah jabatan flip-flop dan seolah-olah dipengaruhi,” ujarnya.
Menurut Shamsul Anuar, situasi ini akan mengakibatkan sistem keadilan Malaysia dipandang negatif oleh dunia perundangan antarabangsa dan keadaan ini amat tidak baik kepada negara.
Secara lumrahnya, katanya, amat jarang Peguam Negara tidak bersetuju dengan perakuan polis, khususnya dalam kes jenayah melibatkan pembunuhan.
Bagaimanapun dalam kes kematian Allahyarham Adib, ia berlaku sebaliknya.
“Menilai kes ini dan beberapa kes lain sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara ini, timbul keraguan terhadap kewibawaan Peguam Negara.
“Pasti menimbulkan persoalan, apakah rakyat Malaysia masih boleh mengharapkan wujud keadilan dan keluhuran undang-undang di negara ini? Justeru, kita minta Jabatan Peguam Negara tidak bertindak sesuatu yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadapnya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











