KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyerahkan sumbangan sebanyak RM28,605.66 kepada Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman dalam satu majlis ringkas, di pejabat Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pengurus Besar Operasi Domestik Tabung Haji, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, sumbangan zakat itu bertujuan membantu pelajar maahad tahfiz terutamanya pelajar asnaf dari aspek penjagaan, menjalankan aktiviti atau program pendidikan pelajar serta membantu menampung kos operasi maahad tahfiz yang semakin meningkat.
“Tabung Haji terus memperlihat keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti Program Mobiliti, Ikhtiar dan Iqra’ yang menyasarkan golongan asnaf tahun ini.
“Selain memenuhi tuntutan Islam untuk saling bantu-membantu terutamanya golongan asnaf, program CSR ini merupakan platform terbaik untuk Tabung Haji mendekati dan mengeratkan lagi ukhuwah dengan masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sumbangan telah disampaikan Ahmad Ruzman dan Pengarah Tabung Haji Terengganu, Datuk Mohyen Mosman kepada Pengetua Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Muzaihar Kamal Mustafa Kamal.
Sementara itu, Muzaihar Kamal berkata, pihaknya amat berterima kasih terhadap keprihatinan Tabung Haji dan sumbangan berkenaan akan digunakan sebaiknya bagi memastikan pelajar tahfiz khususnya golongan asnaf di sekolah tersebut dapat meneruskan sesi pembelajaran mereka dan cemerlang dalam pengajian. – UTUSAN ONLINE











