ALOR SETAR – Polis daerah ini menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan masing-masing berikutan tujuh batang jalan di bandar raya ini dikenal pasti mengalami kesesakan teruk sempena musim perayaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, jalan-jalan terbabit adalah Jalan Pekan Melayu/ Pekan Cina; Lebuhraya Darulaman (berhadapan Aman Central) dan Jalan Putra.
“Selain itu, Jalan Langgar; Jalan Kuala Kedah; Jalan Langgar yang menghubungkan simpang ke Plaza Tol Alor Setar Utara dan Lebuhraya Sultan Abdul Halim untuk ke Plaza Tol Alor Setar Selatan juga merupakan lokasi yang dikenal pasti akan berlaku kesesakan.

“Waktu yang dijangka mengalami kesesakan adalah antara pukul 11 pagi ke 3 petang, bermula pukul 5 petang hingga 7 malam dan pukul 9 malam ke 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berikutan itu, Mohd. Rozi menasihatkan pengguna tidak meletak kenderaan sesuka hati yang boleh menganggu atau menghalang perjalanan lalu lintas selain bersabar dan memberi kerjasama serta mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas.
“Kita juga telah menugaskan seramai lima pegawai dan 38 anggota bagi menangani kesesakan lalu lintas di seluruh daerah ini terutama di lokasi yang dijangka lebih serius akibat limpahan kenderaan ke pusat bandar,” katanya. -UTUSAN ONLINE











