PASIR PUTEH – Kira-kira 250 keluarga nelayan di kawasan penempatan semula nelayan Tok Bali, dekat sini, dijangka menyambut hari raya Aidilfitri tanpa bekalan air apabila masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian sejak tiga bulan lepas.
Seorang penduduk, Ismail Abu bakar, 72, berkata penghuni rumah kawasan itu dikatakan merancang untuk kembali ke kampung halaman mereka masing-masing berikutan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
Menurutnya, sebahagian besar terpaksa membeli bekalan air bersih untuk minum dan memasak di luar kawasan perumahan itu.

“Macam mana nak memasak lauk-pauk bagi juadah hari raya kalau nak mandi pun sukar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Udin Che Mod, 72, berkata keluarganya terpaksa mengangkut air dari kawasan luar perkampungan itu untuk tujuan membasuh pakaian dan mandi anak beranak.
“ Bekalan air untuk minuman saya terpaksa membeli dari mesin penapis air dan hanya mampu mengangkut dua botol sehari dengan motosikal,” katanya.
Menurutnya, keadaan yang sama turut dihadapi di masjid kampung berkenaan yang terpaksa mendapatkan ihsan bomba dan penyelamat Tok Bali dan Pasir Puteh untuk mendapatkan bekalan bagi membolehkan ahli jemaah berwuduk.
“ Bomba sering kali dipanggil untuk memasukkan bekalan air ke dalam kolah untuk keselesaan beribadat di sepanjang bulan Ramadan.
“ Penduduk sepakat menghulurkan derma untuk membeli enjin pam air bagi membolehkan solat sunat Aidilfitri di masjid ini berjalan lancar,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hasaan Jusoh, 62, berkata, sebahagian penduduk terpaksa membeli enjin pam berharga RM180 hingga RM250 untuk menyedut bekalan air bersih dari paip utama yang dicatukan dalam takungan khas.
“ Sebelum ini penduduk menerima bekalan air bersih tanpa sebarang masalah menggunakan enjin pam utama dan tangki air berpusat. Kesulitan mula dihadapi selepas peranti otomatik enjin pam yang rosak gagal dibaiki dan diselenggarakan semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE











