RANTAU PANJANG – Anggota polis trafik ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini bagi memastikan aliran keluar kenderaan dari negeri ini ke negara jiran berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, langkah itu bertujuan mengelak kesesakan teruk di ICQS sekali gus mengugat kelancaran aliran trafik di kawasan berhampiran.
“Kita sudah pun tempatkan anggota sejak beberapa hari lalu untuk melancarkan aliran trafik.
“Anggota kami mula bertugas seawal pukul 6 pagi sehinggalah ICQS ditutup pada pukul 10 malam setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen Op Selamat Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di Markas Pemeriksaan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang semalam.
Abdullah berkata, seramai 36 anggota akan bertugas sepanjang tempoh Op Selamat tahun ini yang bermula 29 Mei hingga 12 Jun.
Katanya, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh itu akan berdepan hukuman tegas sekiranya ditangkap melakukan kesalahan trafik.
Ujarnya, tindakan tegas itu bertujuan memberi pendidikan kepada pemandu supaya tidak mengulangi kesalahan jalan raya pada masa hadapan.
“Saya ingin tegaskan disini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna yang ditangkap melakukan kesalahan trafik sepanjang Op Selamat kali ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











