KLANG – Kelewatan pemotongan utiliti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) antara kilang kitar semula plastik haram terus beroperasi di sekitar Pelabuhan Klang di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) meskipun surat pemotongan itu telah diserahkan kepada dua syarikat utiliti itu.
Sehubungan itu, Sze Han menegaskan akan mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membincangkan isu berkenaan.
“Kilang kitar semula plastik haram yang terletak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang lain seperti di Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah berjaya dibanteras namun masih banyak lagi kilang beroperasi di Klang.
“MPK telah menyerahkan surat kepada TNB dan Air Selangor untuk mereka potong bekalan ke kilang haram yang telah dikenalpasti. Mengikut pengalaman kita. kilang haram ini dapat dihentikan operasi sekiranya bekalan elektrik dan air dipotong dengan segera,”katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi bersepadu kilang kitar semula plastik haram di Telok Gong di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Sze Han menambah, kawasan pentadbiran MPK yang luas juga menyebabkan kerja-kerja pengawasan terhadap kilang-kilang haram berkenaan sukar dijalankan dengan efektif.
“Kilang-kilang haram ini bukan sahaja ada di sini (Telok Gong) malah ia juga ada di Pulau Indah, Meru dan Air Hitam.
“Terdapat 41 buah kilang kitar semula plastik haram beroperasi di Klang dan 10 daripadanya telah dikenakan tindakan,” katanya.
Sementara itu, Loy San menegaskan, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan menyasarkan kesemua kilang tersebut akan ditutup selewat-lewatnya Julai nanti. “Dalam operasi hari ini, kita membawa Jabatan Alam Sekitar dan mana-mana premis yang didapati bersalah akan berdepan tindakan sitaan dan pemilik tanah turut bakal didakwa di Mahkamah.
“JAS juga akan memaklumkan kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berikutan terdapat sisa plastik ini dibuang ke dalam sungai selepas kilang ini beroperasi pada waktu malam,” katanya. – K! ONLINE











