Ibu tunggal ‘tumpah’ air mata terima sumbangan Pakkak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal ‘tumpah’ air mata terima sumbangan Pakkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS – Linangan air mata membasahi pipi ibu tunggal kepada tiga cahaya mata Rosmawati Hassan, 38, apabila menerima sumbangan Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (Pakkak) menerusi Projek Baju Raya Anak Yatim 2019 hari ini.

Rosmawati berkata, sumbangan tersebut amat besar erti buat dia dan anak-anak selepas kehilangan suami Zulkhairi Badiauzaman yang maut dalam kemalangan dua tahun lalu.

“Terima kasih kepada Pakkak kerana sudi memilih saya dan anak-anak untuk menjadi penerima sumbangan yang amat besar buat kami sekeluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan adanya sumbangan ini dapatlah saya dan anak-anak menyambut Aidilfitri tahun ini lebih meriah,” katanya.

Rosmawati memberitahu, sejak pemergian suaminya itu, dia bergantung harap kepada jualan makanan ringan seperti aiskrim dan popia bagi meneruskan kelangsungan hidup selain bantuan bulanan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selain itu dia turut terima pencen bulanan arwah suami dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Per­keso).

Sementara itu, Presiden Pakkak Mohammad Aswady Adenan berkata, pihaknya akan terus menggerakkan program kebajikan tersebut pada bulan-bulan lain bagi membolehkan lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan mendapat manfaat tersebut.

“Saya berterima kasih kepada semua penyumbang yang telah menghulurkan bantuan bagi menggerakkan Projek Baju Raya Anak Yatim 2019.

“Begitu juga dengan rakan strategik Restoran Pondok Kebaboom (Pasir Tumboh) dan Ayang Cafe (Telipot, Kota Bharu) yang turut membantu menggerakkan tabung kutipan derma,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini