Ganjaran 'kejahatan' Azhan, Fizz - Utusan Malaysia

Ganjaran ‘kejahatan’ Azhan, Fizz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sempena lebaran yang menjelang tiba kurang dua hari lagi sengaja Kosmo! menggandingkan dua susuk ‘ustaz’ yang berjaya mendidihkan darah penonton iaitu Azhan Rani yang popular dengan watak Ustaz Hamadi menerusi siri popular, Nur 2 dan Fizz Fairuz cemerlang sebagai Murad dalam drama rantaian Kamar Kamariah.

Biarpun tidak bergelar hero, sebaliknya memegang watak hitam, kehebatan lakonan Azhan dan Fizz berjaya mencetuskan fenomena, malah kedua-dua mereka menjadi sohor kini dalam laman sosial.

Ironi, karya mereka iaitu Nur 2 dan Kamar Kamariah ditayangkan serentak pada tempoh yang sama sekitar April dan berakhir sebelum masuknya bulan Ramadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi tersebut secara tidak langsung mewujudkan ‘perang’ rating antara slot televisyen dan populariti di mata penonton.

Meskipun begitu, kedua-dua karya boleh dianggap memenangi perhatian khalayak kerana sehingga ke hari ini masih ramai yang tidak melupakan betapa jahatnya, Hamadi dan Murad yang berselindung di sebalik perwatakan warak.

Rezeki

Secara luaran, Azhan sebenarnya memiliki personaliti melucukan, ditambah lagi dengan sifatnya yang kuat melatah, seisi Studio Utusan sewaktu sesi fotografi baru-baru ini menjadi riuh gara-gara kenakalan Fizz yang gemar mengusiknya.

Di sebalik keperibadian mesra dan kelakar, Azhan seorang aktor hebat. Lemparkan apa sahaja watak kepadanya, pasti menjadi. Sayangnya, dia kurang diberi perhatian kerana selain sering menjadi ‘penyendal’ dalam sesebuah karya. Azhan juga acap kali menjayakan watak antagonis.

Atas berkat keikhlasan dalam berkarya, tuah Azhan bagaimanapun hadir menerusi watak Hamadi yang mencetuskan fenomena luar biasa sehingga hampir menenggelamkan watak utama Nur 2 iaitu Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle dan Nur (Amyra Rosli).

“Sebenarnya sudah lama saya jadi jahat dalam drama, cuma mungkin sebelum ini penonton tidak perasan. Mungkin drama Nur 2 sudah ada pengikut ditambah dengan kuasa tular menjadikannya lebih besar,” kata Azhan membuka bicara.

Lebih sedekad bergelumang dalam industri, aktor berusia 43 tahun bersyukur atas peluang menikmati kepuasan apabila persembahan bakatnya dihargai penonton gara-gara kejahatan Hamadi.

Barangkali ekoran demam Hamadi yang masih bersisa, telefilem lakonannya selepas drama Nur 2 iaitu Terima Kasih Ibu dan Geng Van Jenazah turut menerima tempias apabila menjadi tular dalam laman sosial.

Tidak habis di situ, Azhan mengakui karier lakonannya menerima impak yang positif apabila dihujani tawaran lakonan dan kerja seni.

“Alhamdulillah, orang sudah mula hendak tengok setiap lakonan saya. Selama ini saya tidak pernah mendapat impak sebegini. Sebenarnya semenjak dari dahulu saya tidak peduli dengan jumlah drama yang dijayakan. Sebaliknya, saya selalu pentingkan berapa banyak drama lakonan saya yang diingati penonton.

“Disebabkan pernah rasa susah, setiap tawaran yang datang pada hari ini amat saya hargai. Saya akan cuba penuhi segala undangan berkaitan kerja selagi termampu,” kongsi Azhan yang turut membawakan watak antagonis menerusi siri KL Gangster Underworld.

Tambah Azhan, selain menerima tiga tawaran filem, produksi drama Nur juga ditawarkan untuk mengangkat karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu ke pentas teater di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Saya pernah menyimpan impian andai karya Nur diangkat ke pentas teater, saya mahu menyertainya. Tidak sangka peluang tersebut benar-benar tiba. Bagaimanapun, pementasan teater bukan mudah dan memerlukan komitmen tinggi barisan kru dan pelakon.

“Setakat ini, belum ada kata putus, mungkin selepas sambutan Lebaran barulah kami akan duduk berbincang,” tutur Azhan.

Beralih bicara tentang sambutan lebaran yang bakal disambut pada Rabu ini, Azhan menterjemahkan raya sebagai detik memberi kegembiraan buat ibunya, Salmah Budin, 73, selepas bapanya, Abd. Rani Sabri meninggal dunia tiga tahun lalu.

Bahkan semenjak ketiadaan arwah bapanya, sudah dua tahun berturut-turut Azhan membawa ibunya meraikan lebaran di lokasi percutian.

“Sudah dua tahun kami sekeluarga menyambut raya bukan di rumah sendiri kerana tidak mahu ibu sedih terkenangkan arwah bapa.

“Cuma tahun ini belum ditentukan destinasi sambutan raya kami, sama ada di rumah di Kuala Kubu Bahru atau di tempat lain. Kebiasaannya selepas solat Aidilfitri dan menziarahi kubur arwah bapa, saya akan membawa ibu berjalan bertemu saudara-mara dan rakan-rakannya,” kata Azhan yang akan muncul menerusi drama raya berjudul Aku Tak Raya di TV3.

Senang jadi jahat

Masih berkisar soal watak, Fizz Fairuz sama sekali tidak menyangka bahawa watak Murad menerusi Kamar Kamariah kembali mengangkat sahamnya dalam dunia lakonan.

Tanyalah kepada mana-mana penonton, siapa yang tidak sakit hati dan geram melihat kezaliman Murad, seorang suami kaki pukul yang bukan sahaja munafik tetapi pandai ‘berlakon’ baik dan alim di hadapan orang lain terutama ibunya.

Tertawa saat terkenangkan kembali amukan penonton dalam laman sosialnya sepanjang drama tersebut bersiaran, akui Fizz, Murad adalah watak paling jahat pernah dijayakannya.

Bagaimanapun, melakonkan watak sejahat Murad tidak sukar kerana bertuahnya kali ini dia digandingkan dengan aktres Nabila Huda yang disifatkan sebagai handal berlakon. Apa yang menyukarkan Fizz adalah melakonkan watak baik seperti Aidil dalam drama Nur Kasih.

“Selepas membawa watak baik dalam Nur Kasih dan jahat dalam Kamar Kamariah, bagi saya watak baik lagi susah dilakonkan. Watak jahat lebih senang mungkin kerana jiwa saya yang sememangnya agak kasar.

“Untuk watak Aidil, saya perlu melakukan kajian bagi mendapatkan intonasi suara dan air muka yang sesuai supaya penonton percaya dia seorang lelaki yang baik.

“Berbeza dengan Murad, setiap hari mesti ada babak pukul bini dengan tali pinggang, namun Nabila memang hebat. Mungkin kerana keserasian kami dan jalan cerita yang bagus, drama tersebut mendapat sambutan yang baik,” tutur Fizz.


Stigma

Tambah Fizz, penerimaan dan kegilaan penonton terhadap watak antagonis seperti Murad serta Hamadi membuktikan stigma bahawa rupa paras seseorang pelakon mampu menaikkan rating sudah tidak boleh diguna pakai.

“Pelakon-pelakon senior yang sudah tidak muda sepertinya memberi warna dan rating untuk sesebuah drama. Sekarang memang ramai pelakon baharu, tetapi bukan semuanya adalah ‘pelakon’.

“Jika diletakkan seorang pelakon kacak dan muda sekali pun, tetapi kalau berlakon lebih lurus daripada kayu, drama tersebut pasti akan mendatar. Pokok pangkalnya, tidak kira senior atau junior, setiap pelakon perlu ada ilmu bukan sekadar jual muka,” tegas Fizz.

Untuk informasi, Fizz baru sahaja muncul dengan drama Empat Penjuru lakonannya bersama Fauziah Datuk Ahmad Daud, Sabri Yunus, Rita Rudaini dan Syafiw Naswip dan sedang menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Perempuan Tepi Jalan.

Berkongsi tentang sambutan raya, suami kepada pelakon Almy Nadia itu memberitahu, tahun ini giliran untuk mereka sekeluarga pulang ke kampung halamannya di Raub, Pahang. Disebabkan banyak tuntutan kerja yang belum selesai, Fizz hanya mengambil cuti selama enam hari.

“Biarpun beraya di Raub, kami tetap akan pulang ke kampung isteri di Pulau Pinang. Saya kena berlaku adil, nanti timbul perang dingin pula,” kata Fizz sambil ketawa.

Luah Fizz juga, persiapan Aidilfitri hanya dilakukan secara sederhana dan tumpuan diberikan kepada empat orang anak, termasuk seorang anak angkat.

“Raya bagi saya adalah masa untuk keluarga. Biarpun tempoh cuti hanya singkat, tetapi waktu itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menziarahi keluarga dan mengeratkan kembali silaturahim,” ujarnya yang wajib menjamah lemak gulai asam rom yang merupakan masakan tradisi Pahang pada pagi raya.

Sambutan lebaran tahun ini lebih manis buat aktor Datuk Fizz Fairuz dan Azhan Rani apabila ‘saham’ mereka melonjak tinggi gara-gara kecemerlangan watak antagonis yang dilakonkan dalam drama Nur 2 serta Kamar Kamariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini