PARIS – Bintang tenis Austria, Dominic Thiem berang selepas diusir keluar ketika sidang akhbarnya sedang berlangsung setelah dia diminta memberi ruang kepada Serena Williams yang tewas pada peringkat 32 terbaik Terbuka Perancis, hari ini.
Ketika kejadian itu, naib juara 2018, Thiem sedang menjalankan sidang akhbar selepas kejayaannya melangkah ke saingan 16 akhir. Bagaimanapun, pemain itu dimaklumkan bahawa bilik sidang akhbar berkenaan perlu digunakan oleh bintang Amerika Syarikat, Williams yang tewas kepada Sofia Kenin.
“Apa semua ini. Saya perlu meninggalkan bilik ini kerana dia (Serena) mahu menggunakan bilik ini. Apa semua ini, saya tidak peduli dan saya boleh buat apa yang saya mahukan,” kata Thiem.
Dalam aksi hari ini, Thiem telah mengalahkan Pablo Cuevas dari Uruguay dengan keputusan 6-3, 4-6, 6-2, 7-5, manakala, Serena tewas kepada Kenin dengan keputusan 6-2, 7-5.
Sementara itu, Serena, 37, yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan lutut telah memaksanya menarik diri daripada Terbuka Miami dan Itali, malah dia juga ditimpa serangan virus sewaktu kejohanan di Indian Wells.
Bekas jaguh No. 1 dunia itu hanya beraksi 12 kali tahun ini dan bercadang untuk beraksi di gelanggang rumput sebelum menghadapi Wimbledon.
“Buat masa ini, saya masih lagi jauh ketinggalan daripada tahap prestasi terbaik, tetapi, saya tetap akan berusaha kembali bermain dengan cemerlang. Sememangnya, saya kekurangan waktu beraksi. Saya tidak berminat untuk memberi alasan apabila saya berlatih untuk menghadapi kejohanan,” kata Williams. – AGENSI











