TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan memasyhurkan masjid baharu Temerloh dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah sempena nama ayahanda baginda.
Seri Paduka yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika mengingati jasa Sultan Ahmad Shah mahu masjid itu dinamakan nama ayahanda baginda meskipun pada awalnya dicadangkan sempena nama Seri Paduka.
“Awalnya kerajaan Pahang berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya setelah saya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Namun, saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat dan tidak segagah Paduka Ayahanda. Setelah mengambil kira pengorbanan Almarhum terhadap negeri Pahang dan rakyat yang dikasihi,.biarlah rumah Allah ini menjadi satu kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda selama 45 tahun,” titah Seri Paduka pada majlis perasmian Masjid Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain billah di sini.hari ini
Turut berkenan berangkat Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pemimpin-pemimpin negeri.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain billah yang bernilai RM18.87 juta boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa siap dibina pada 2016. – UTUSAN ONLINE











