KULAI – Seperti adegan dalam filem.
Itu yang berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di pekan Kelapa Sawit di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) yang sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan terserampak dengan kereta Proton Wira kelabu itu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kereta itu yang dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Sri Putri, Kulai.
“Anggota berkenaan kemudian mengarahkan kereta itu berhenti, namun pemandu memecut kenderaan dan pihaknya mendapatkan bantuan sebuah lagi MPV.
“Kenderaan dinaiki suspek memecut laju ketika meloloskan diri daripada pemeriksaan polis dan bertindak agresif hingga ke Jalan Utama Batu 24, Kelapa Sawit,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 10 saat membabitkan aksi polis mengejar suspek menaiki sebuah Proton Wira di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit hari ini.
Turut kedengaran satu das tembakan di lepaskan ke arah kenderaan yang sedang memecut laju itu.
Beng Yeow berkata, akibat masalah teknikal, tugas mengejar suspek dilakukan sebuah lagi MPV dan ketika tiba di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit, kenderaan suspek mengancam anggota ronda Balai Polis Sawit yang sedang bertugas.
Menurutnya, anggota yang diancam suspek sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan itu.
Bagaimanapun katanya, suspek berjaya meloloskan diri dengan masuk ke dalam semak sehingga ke Taman Murni Jaya, Layang-Layang, Kluang.
Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) membantu siasatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, usaha masih dilakukan bagi mengenal pasti suspek dan melancarkan gerakan memburu sehingga kedua-duanya ditangkap.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya. – UTUSAN ONLINE











