Hanya 2 kes peniaga naikkan harga barangan kawalan Aidilfitri - Utusan Malaysia

Hanya 2 kes peniaga naikkan harga barangan kawalan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya mengesan dua kes peniaga menaikkan harga barang kawalan melebihi harga ditetapkan sepanjang Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Aidilfitri setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan ketika pemeriksaan ke atas sebanyak 28,242 premis dan kedai termasuk pasar raya dilakukan sejak SKHMP berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Menurut beliau, sepanjang pemeriksaan itu juga, pihaknya turut mengesan sebanyak 110 kes membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika dilihat kepada hanya dua kes peniaga menaikkan harga barang, maka pada kita SKHMP ini berjaya dan sangat berkesan.

“Malah, sepanjang pemantauan penguat kuasa kita khususnya di pasar raya juga, kebanyakan 27 barang kawalan dalam SKHMP dijual dibawah harga ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri 9ADUN) Pantai Jerejak ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada 50 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan di Surau Nurul Iman, Bandar Bayan Baru, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin menggesa orang ramai segera membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati berlaku kenaikan mendadak atau luar biasa pada harga barang termasuk yang di luar kawalan.

Kata beliau, ketika ini terdapat seramai 2,300 penguat kuasa KPDNHEP yang bertanggungjawab memantau isu harga dan boleh bertindak membuat pemeriksaan sekiranya mempunyai maklumat tepat seperti lokasi, jenis barang dan harga yang dikatakan dijual lebih mahal.

Beberapa hari lalu, beberapa persatuan pengguna mendakwa mula menerima aduan berlaku kenaikan harga barang-barang basah dan keperluan asas menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain itu, menurut mereka, kegiatan menyorokkan bekalan juga dipercayai berlaku untuk menaikkan harga barang yang dijual pada hari-hari terakhir sebelum sambutan Aidilfitri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini