GUA MUSANG – Stesen minyak Petron yang terletak di Hentian Gua Musang di sini menawarkan isian minyak petrol secara percuma kepada 200 penunggang motosikal, malam ini.
Tawaran isian minyak penuh itu tajaan Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan Ekspres Musafir pertama kali menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Ismail berkata, isian minyak percuma itu tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.
Katanya, tawaran itu bermula pukul 9 malam ini dan hanya penunggang motosikal 125cc dan ke bawah sahaja boleh mendapatkan pengisian petrol percuma itu.
“Pengisian minyak itu bernilai RM5 atau sampai penuh dan mereka yang memiliki Kad Petron Miles sahaja.
“Bagi penunggang motosikal yang masih belum ada kad itu boleh mendaftar di Stesen Petron berkenaan dan selepas itu baru boleh menikmati tawaran ekslusif ini,” katanya.
Che Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif Hentian Gua Musang berkata, tawaran itu terbuka kepada semua pemilik motosikal serta tidak terhad kepada mereka yang pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, mereka yang tinggal di sekitar bandar dan kampung di daerah ini juga boleh merebut peluang isi minyak secara percuma di stesen itu. – K! ONLINE











