SHAH ALAM – Kerajaan Malaysia dan Indonesia bakal menjalinkan kerjasama bagi menjayakan program pembiakan badak sumbu Sumatera sebagai usaha memelihara jenis haiwan berkenaan yang kini hidup di Sabah.
Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kerjasama itu dijangka dapat dilakukan menjelang hujung tahun ini demi menyelamatkan baka badak sumbu berkenaan daripada terus mengalami kepupusan.
“Badak sumbu Sumatera yang ada di Malaysia sekarang ini tidak lagi mampu menghasilkan baka baharu. Oleh itu, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan atau menyelamatkan jenis haiwan berkenaan.
“Kami difahamkan, hanya tinggal seekor saja lagi badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini jadi kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk memeliharanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan World International Students Public Welfare Media Art Exhibiton 2019 anjuran Kolej Damansara Utama (KDU) Kampus Glenmarie, di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia mati berkemungkinan usianya yang lanjut iaitu 35 tahun menyebabkan berlakunya pelbagai kegagalan organ. – Bernama











