KUALA LUMPUR – Sebanyak 44 kes kemalangan maut dilaporkan yang melibatkan 49 kematian dalam Ops Selamat 15/2019 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan bermula 29 Mei lalu hingga semalam.
Sepanjang Ops Selamat berlangsung, sebanyak 5,310 kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara dan Perak mencatat jumlah kematian paling tinggi, iaitu lapan kes kematian daripada 359 kemalangan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, negeri Selangor pula mencatatkan jumlah kemalangan yang paling tinggi iaitu sebanyak 1,643 kes dan tujuh kes kematian.
“Negeri Johor pula mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 810 kes kemalangan dan tujuh kes kematian.
“Sebanyak 784 kemalangan berlaku di sekitar Kuala Lumpur tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak polis juga telah mengeluarkan sebanyak 70,948 saman kepada pengguna jalan raya di seluruh negara bagi tempoh itu.
“Kita juga telah menerima 114 laporan kes pecah rumah di seluruh negara.
“Selangor mendahului senarai tersebut dengan 21 laporan berkaitan kes pecah rumah dan premis manakala Pulau Pinang mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 14 kes,” ujarnya. – K! ONLINE











