KUANTAN – Praktis terbaik dan prinsip pencegahan merupakan dua perkara utama yang menjadikan sisa buangan radioaktif isu pokok dalam operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng dekat sini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, walaupun penilaian mendapati operasi kilang Lynas berisiko rendah, semua pihak perlu memahami bahawa tahap radiasi rendah itu memiliki jangka hayat lama seterusnya mampu memberi kesan jangka masa panjang.
“Praktis terbaik bagi radiasi rendah jangka hayat panjang ini adalah menghantarnya semula ke lombong. Jika Lynas membina kilang nadir bumi di Australia, itulah yang dilakukan dengan menghantar sisa buangan radioaktif ke lombong.
“Mengapa perlu ada ‘double standard’ di sini dengan mengatakan (sisa buangan radioaktif) boleh diletakkan dekat kawasan rumah kita, di belakang kilang atau kawasan berdekatan sungai dan laut?,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan 45 penghuni warga emas Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini hari ini.
Beliau ditanya mengapa sisa buangan radioaktif masih menjadi isu pokok sedangkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas mendapati operasi kilang memproses nadir bumi itu berisiko rendah.
Menurut Fuziah, prinsip pencegahan juga perlu diambil kerana semua pihak bertanggungjawab kepada generasi masa depan dengan pengoperasian Lynas.
“Sebab itu praktis terbaik dan prinsip pencegahan itu perlu diambil serta kita pastikan bahawa Lynas beroperasi mengikut standard yang ketat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











