Hoki: Malaysian Tigress kalahkan Itali - Utusan Malaysia

Hoki: Malaysian Tigress kalahkan Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara berjaya menewaskan ranking ke-17 dunia, Itali 2-0 pada aksi terakhir Kejohanan Saingan Tiga Penjuru di Rom hari ini.

Ia pastinya menyuntik semangat barisan pemain Malaysian Tigress yang merupakan pasukan No. 22 dunia untuk menghadapi ujian sebenar iaitu Final Siri Hoki Dunia 2019 di Banbridge, Ireland Utara dari 8 hingga 16 Jun ini.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ternyata gembira dengan prestasi anak-anak buahnya memandangkan Itali adalah lawan sukar yang berjaya mencatat kemenangan 4-3 ke atas pasukan ranking ketujuh dunia, Sepanyol semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemain bermain dengan berhati-hati untuk mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan tetapi mereka masih dapat memberikan persembahan menarik dari segi pertahanan dan serangan balas pantas.

“Esok kami akan bertolak ke Scotland untuk bermain dua aksi persahabatan menentang pasukan pilihan Kelab Hoki Uddingston. Saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi semasa,” katanya.

Dua gol skuad negara ke atas Itali hari ini dijaringkan oleh Norazlin Sumantri dan Hanis Nadiah Onn masing-masing pada minit kelima serta 11 permainan.

Selepas ke Scotland, Malaysian Tigress akan ke Belfast, Ireland Utara untuk bermain satu aksi pemanas badan terakhir menentang skuad bawah 23 tahun Ireland sebelum memulakan kempen kejohanan dalam saingan Kumpulan A, Sabtu minggu depan.

Turut berada dalam Kumpulan A ialah finalis Piala Dunia 2018, Ireland, Republik Czech dan Singapura. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini