MELAKA – Meskipun Ramadan sudah kian menghampiri penghujung namun ia tidak menghalang pusat rekreasi dan penginapan Bayou Lagoon Park Resort (Bayou Lagoon) untuk melaksanakan program kemasyarakatan bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) hari ini.
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, kedua-dua pihak bergotong-royong menyiapkan 1,000 bekas bubur lambuk untuk diagih-agihkan kepada penduduk bandar raya ini di hadapan kompleks beli-belah Melaka Mall di sini.
Menurut Pengarah Urusan Bayou Lagoon, Datuk Marco Seow Chee Han, sebanyak 30 kakitangan resort itu bersama petugas MPHTJ bekerjasama memasak enam periuk besar bubur lambuk menggunakan 40 kilogram beras dan sembilan kilogram perencah menghasilkan makanan itu.
“Program CSR seperti ini kami adakan setiap tahun dan ia bertujuan berkongsi kegembiraan menyambut bulan Ramadan dan pada masa yang sama menghargai peranan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain mengagih-agihkan bubur lambuk, pihak kami turut mengedarkan 35 unit barangan keperluan hari raya kepada keluarga kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian bubur lambuk dan bantuan itu di hadapan Melaka Mall di sini. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPHTJ, Mohd. Rafee Ibrahim.
Menurut Chee Han, pihaknya turut meraikan sebanyak 35 orang anak yatim dari Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zahrah pada majlis berbuka puasa yang diadakan di resort berkenaan.
Katanya, selain menjalankan program CSR, diharapkan bantuan yang disampaikan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan menceriakan anak-anak yatim menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE











