KUALA LUMPUR- Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba melakukan pemerasan terhadap bapa Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi,yang dilaporkan hilang sejak 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, bapa kanak-kanak berusia lapan tahun itu menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek berusia 42 tahun tersebut.
Katanya, suspek memaklumkan Muhammad Zahiruddin ada bersamanya sebelum meminta sejumlah wang daripada Mohd. Fauzi.
“Susulan daripada laporan diterima, Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Operasi Khas (D8) Kontinjen Selangor berjaya mengesan lokasi suspek dan ditahan pada 18 Mei lalu di Permas Jaya, Johor Bahru.
“Ketika disoal siasat suspek mengaku mangsa (Muhammad Zahiruddin) tiada bersamanya dan turut mengaku cuba mengambil kesempatan daripada kes kehilangan Muhammad Zahiruddin kerana terdesak tiada duit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Dzaffir, suspek kini dibebaskan dengan bon mahkamah sehingga proses siasatan selesai.
15 April lalu, Muhammad Zahiruddin dilaporkan keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini pada pukul 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.
Kehilangan Muhammad Zahiruddin disedari ibunya selepas pulang dari tempat kerja pada pukul 7 malam dan laporan polis telah dibuat.
Susulan itu, usaha mengesan kanak-kanak itu dilakukan oleh polis sehingga ke hari ini dan kes masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang (OH) tanpa pembabitan sebarang unsur jenayah.-UTUSAN ONLINE











